Skip to content Skip to main navigation Skip to footer

Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSAM) Kunjungi LAUT

Pada 14 November 2021, Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) telah diberi penghormatan untuk menyambut kunjungan hormat oleh kakitangan Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSAM). Kunjungan yang diadakan di Menara Galeri Jambatan Angkat Kuala Nerus ini disertai oleh 23 kakitangan BKSAM dan 7 pegawai LAUT dan merupakan kunjungan hormat oleh badan kawal selia air yang pertama sejak LAUT ditubuhkan.

Pengarah BKSAM, Puan Faizah, tekun mendengar perkongsian tentang situasi terkini pelaksanaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 oleh Pengarah LAUT, Puan Safura.

Berbagai isu diketengahkan ketika sesi perkongsian kedua-dua institusi air negeri ini. Antara yang menjadi isu hangat ialah potensi dan tanggungjawab badan kawal selia air sebagai pemangkin kepada reformasi air negeri. Kakitangan kedua-dua institusi ini saling berkongsi pengalaman dan BKSAM, sebagai sebuah badan kawal selia air yang ditubuhkan lebih awal daripada LAUT, telah banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada LAUT.

Pengarah Badan Kawal Selia Air Melaka, Puan Faizah (kiri) saling bertukar cenderahati dengan Pengarah Lembaga Sumber Air Terengganu, Puan Safura (kanan).
Kedua-dua Pengarah BKSAM dan LAUT saling bertukar cenderahati di setelah berakhir sesi perkongsian.

BKSAM mengambil peluang kunjungan hormat ini dengan memberi pencerahan kepada LAUT berkenaan perkembangan terbaharu pengawalaturan navigasi yang sedang dikawal selia oleh Badan itu. Manakala LAUT turut sama berkongsi cabaran yang dihadapi dalam menguatkuasakan peraturan pelesenan iaitu Peraturan-Peraturan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber 2021 sejak bulan September 2021, terutama dalam situasi jumlah tenaga kerja yang sangat minima ini.

Semoga pertemuan bersejarah ini menjadi titik tolak ke arah pengurusan sumber air negara yang lebih bersepadu walau berbeza sempadan.